tgoop.com/NotaUmrahDIY/3990
Last Update:
TREND UMAT ISLAM PERGI UMRAH DAN HAJI LEBIH UTAMAKAN OOTD DAN KONTEN MEDIA SOSIAL
Kini wujud trend di mana ramai orang Islam pergi Umrah atau kini musim Haji, namun mereka turut mengutamakan 'OOTD' iaitu memperagakan pakaian harian, bergambar dengan segenap sudut sehingga ketika berdoa di depan kaabah pun dirakam kononnya untuk simpanan peribadi, tetapi memuat naik semua bahan berkenaan di platform media sosial.
1. Apakah kesan kepada ibadah berkenaan jika keadaan ini berterusan?
Secara asasnya, hukum merakam video semasa tawaf tidaklah haram secara mutlak namun boleh jatuh kepada hukum makruh kerana mengganggu khusyuk ketika ibadat. Walaupun sah ibadah tawaf dalam keadaan mengambil video, konten atau OOTD, namun perbuatan tersebut hendaklah dielakkan kerana boleh mengganggu kekhusyukan dan tumpuan dalam beribadah. Ini berkemungkinan perhatian hanya tertumpu kepada rakaman dan konten video. Hal yang demikian bertentangan dengan tujuan utama umrah atau ibadah haji, iaitu mendekatkan diri kepada Allah SWT dengan penuh khusyuk dan penghayatan. Perkara ini berdasarkan sebuah riwayat daripada Saidina Abdullah Ibn Abbas RA bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:
الطَّوَافُ حَوْلَ الْبَيْتِ مِثْلُ الصَّلاَةِ إِلاَّ أَنَّكُمْ تَتَكَلَّمُونَ فِيهِ فَمَنْ تَكَلَّمَ فِيهِ فَلاَ يَتَكَلَّمَنَّ إِلاَّ بِخَيْرٍ
Maksudnya : Tawaf di sekitar Baitullah itu adalah sama seperti solat. Kecuali kamu berkata-kata di dalamnya. Maka sesiapa yang berkata-kata di dalamnya, janganlah dia bercakap melainkan yang baik sahaja.
(Riwayat Al-Tirmizi)
2. Apakah ia akan mengganggu khusyuk?
Dalam beribadah, sudah tentu tujuan utama adalah mendekatkan diri kepada Allah SWT dengan penuh khusyuk dan rendah diri terhadap Allah SWT. Khusyuk boleh dikategorikan kepada dua iaitu khusyuk hati dan anggota badan. Kedua-duanya saling terkait antara satu sama lain agar kekhusyukan itu hadir ketika melakukan ibadah. Sa’id bin Musayyib berkata:
لَوْ خَشَعَ قَلْبُ هَذَا خَشَعَتْ جَوَارِحُهُ
Maksudnya: “Seandainya hati orang ini khusyuk, sudah tentulah akan khusyuk anggota tubuhnya”
Perbuatan merakam video atau melakukan konten semasa mengerjakan ibadah, sudah tentu akan menghilangkan kekhusyukan bahkan boleh mengganggu jemaah lain yang sedang beribadah dengan khusyuk dan perkara ini perlu dielakkan. Sepatutnya ibadah zikir, berdoa, membaca al-Quran dan seumpamanya diperbanyakkan semasa mengerjakan ibadah umrah atau haji di samping berlumba-lumba dalam mengerjakan ibadah kerana berpeluang untuk menjadi tetamu Allah SWT.
3. Ada pihak yang menyatakan bahawa trend berkenaan mungkin terbuka dengan sifat menunjuk-nunjuk, apakah komen?
Trend ini berisiko menjadikan ibadah sebagai satu tontonan atau konten media sosial, bukan lagi amalan rohani yang boleh mendekatkan diri kepada Allah SWT. Trend ini juga dibimbangi membuka ruang kepada sifat riak dan menunjuk-nunjuk. Terdapat sebuah hadis yang menceritakan tentang riak merupakan syirik kecil sebagaimana sabda Nabi SAW:
إِنَّ أَخْوَفَ مَا أَخَافُ عَلَيْكُمْ الشِّرْكُ الْأَصْغَرُ قَالُوا وَمَا الشِّرْكُ الْأَصْغَرُ يَا رَسُولَ اللَّهِ قَالَ الرِّيَاءُ يَقُولُ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ لَهُمْ يَوْمَ الْقِيَامَةِ إِذَا جُزِيَ النَّاسُ بِأَعْمَالِهِمْ اذْهَبُوا إِلَى الَّذِينَ كُنْتُمْ تُرَاءُونَ فِي الدُّنْيَا فَانْظُرُوا هَلْ تَجِدُونَ عِنْدَهُمْ جَزَاءً
Maksudnya : “Perkara yang paling aku takut terjadi pada kalian adalah syirik yang kecil. Para Sahabat bertanya: Apa itu syirik yang kecil wahai Rasulullah. Nabi saw bersabda: Itulah Riya’. Allah SWT akan berfirman pada hari kiamat kelak: Pergilah kepada orang yang kamu hendak tunjukkan amalan kamu kepadanya di dunia dan lihatlah adakah di sisi mereka itu ganjaran (dengan sebab amalan kamu).”
(Riwayat Ahmad)
Oleh itu, adalah lebih selamat untuk mengelakkan perbuatan tersebut semasa beribadah dan hanya fokus kepada niat asal iaitu mendekatkan diri kepada Allah SWT.
BY Nota Umrah DIY
Share with your friend now:
tgoop.com/NotaUmrahDIY/3990